DOA The Great Weapon

Posted by denz | Labels: | Posted On Wednesday, January 5, 2011 at 9:41 PM


Berdoa bukanlah perkara asing dalam kehidupan kita orang Islam. Setiap hari kita tidak lekang dari berdoa. Bahkan masyarakat kita sangat sebati dengan amalan berdoa. Dalam apa jua acara, seperti majlis perkahwinan, majlis berpindah rumah dan sebagainya, doa menjadi inti daripada acara tersebut. Akan tetapi sejauh manakah kefahaman kita mengenai doa itu? Sejauh manakah penghayatan kita ketika berdoa?

Kita dapati ada segelintir masyarakat kita yang bersikap cuai atau bosan atau tidak bersungguh-sungguh untuk berdoa. Ada di antara mereka merungut apabila pembaca doa membaca doa-doa yang panjang, berkata-kata sedang kedua tangannya menadah ke langit, sambil lewa, tidak mengaminkan doa dan malah ada juga yang langsung tidak mahu berdoa. Doa hanya setakat di bibir atau hanya tangan ditadahkan menyambut doa tetapi fikiran entah ke mana.


Doa Itu Ibadat Dan Senjata Orang Mukmin

Doa adalah permintaan atau permohonan seorang hamba kepada Allah Subahanahu wa Ta‘ala dan sebagai jalan untuk menyatakan hajatnya. Hajat itu samada meminta kebaikan ataupun menolak mudharat atau bencana. Doa itu adalah ibadat kerana ia merupakan penyataan seorang hamba kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan kelemahan dirinya. Ia juga merupakan pengakuan seorang hamba bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala Maha Berkuasa sama ada untuk memakbulkan doanya atau sebaliknya.

Daripada an-Nu‘man bin Basyir beliau berkata: Maksudnya:

“Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Doa itu ibadat.” Kemudian Baginda membaca (ayat al-Qur’an, surah Ghafir: 60 yang tafsirnya): “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Doa mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana doa itu penyataan seorang hamba akan kefakiran, kelemahan serta kehinaannya dan pengakuannya terhadap kekuatan, kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:Maksudnya:

“Tidak ada sesuatu (zikir dan ibadat) yang lebih mulia di sisi Allah Ta‘ala daripada doa.”

(Hadits riwayat Tirmidzi)

Allah Murka Kepada Sesiapa Yang Tidak Berdoa

Allah Subhanahu wa Ta‘ala murka kepada sesiapa yang tidak berdoa atau tidak memohon sesuatu kepadaNya. Ini kerana orang yang meninggalkan doa itu dikatakan sebagai sombong, takbur dan tidak memerlukannya. Menurut ath-Thibiy Rahimahullah, bahawa kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu adalah kerana Allah menyukai orang yang memohon kurniaanNya, maka sesiapa yang tidak memohon kepada Allah nescaya Dia membencinya, dan orang yang dibenci itu sudah tentu dimurkai.

Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya:

“Sesiapa yang tidak memohon (meminta) kepada Allah, Dia (Allah) murka kepadanya.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berkata Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu: Maksudnya:

“Bahawa sebakhil-bakhil manusia adalah siapa yang bakhil memberi salam, dan selemah-lemah manusia adalah siapa yang lemah (malas) untuk berdoa.”

(Hadits riwayat Abu Ya‘la)

Janji Allah Memakbulkan Doa

Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan dan mendorong hambaNya untuk berdoa dan memohon kepadaNya. Dia telah berjanji untuk memakbulkan permohonan mereka, bahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala malu jika menolak permintaan hambaNya dengan tangan kosong.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Tafsirnya:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu.”

(Surah al-Baqarah: 186)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya:

“Sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta‘ala Pemalu lagi Pemurah, Dia malu kepada hambaNya apabila (berdoa) mengangkat kedua tangannya memohon kepadaNya, dan mengembalikan kedua tangannya dengan tidak memberikannya apa-apa (daripada rahmatNya).”

(Hadits riwayat Abu Daud)

Terkabulnya doa itu pula ada beberapa bentuk di antaranya:

1. Memperolehi apa yang dipohon pada waktunya.

2. Memperolehi apa yang dipohon pada waktu lain kerana terdapat hikmah di sebalik kelewatan atau kelambatannya.

3. Menolak keburukan sebagai ganti permohonannya ataupun diberi kebaikan lain yang mana lebih baik dari yang dipohonnya.

4. Permohonannya disimpan sehingga hari yang lebih diperlukan pahalanya.

5. Pengampunan dosa-dosa sekadar apa yang dipohonkan.

Berdoa Pada Ketika Kebiasaannya Dimakbulkan Doa

Doa yang mudah dan cepat dikabulkan itu mempunyai waktu atau saat-saat atau keadaan-keadaan yang tertentu. Di antara waktu dan keadaan tersebut adalah seperti berikut:

1. Lailatulqadar.

2. Satu pertiga akhir waktu malam.

3. Selepas menunaikan sembahyang fardhu.

4. Ketika azan dan iqamah.

5. Ketika turun hujan.

6. Ketika berhadapan dengan musuh dalam peperangan.

7. Hari dan malam Jumat.

8. Ketika minum air zam zam.

9. Ketika sujud.

10. Hari Arafah dan setelah melaksanakan manasik haji yang lain seperti selepas melontar jamrah, berdoa dalam Kaabah, berdoa di bukit Shafa dan Marwah.

11. Pada bulan Ramadhan.

12. Doa orang yang dizalimi.

13. Ketika dalam pelayaran.

14. Doa orang yang berbuka puasa.

15. Doa orang yang sakit.

16. Doa imam yang adil.

17. Doa selepas wudhu.

Adab-adab dan etika berdoa perlulah dijaga dan dipelihara oleh setiap orang yang berdoa. Di antara adab-adab tersebut adalah seperti berikut:

1. Ikhlas kerana Allah Ta‘ala.

2. Memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

3. Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.

4. Berdoa disertai dengan kerendahan hati, khusyuk, merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring dan diiringi dengan perasaan takut azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya.

5. Menghadap kiblat dan menadah dua tangan.

6. Berwudhu.

7. Berdoa dengan jalan bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah Ta‘ala.

8. Bertawassul dengan amal salih yang dikerjakan oleh orang yang berdoa.

9. Menjauhi segala maksiat.

10. Berterusan berdoa dan mengulang-ulang doa sebanyak tiga kali. Ini kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka mengulang-ulang doa itu sebanyak tiga kali.

Hindari Perkara Yang Menolak Doa

Perkara-perkara yang boleh menyebabkan doa ditolak di antaranya tiga perkara iaitu memohon perkara dosa, memutuskan silaturrahim dan tergesa-gesa menganggap doa tidak dimakbulkan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya:

“Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu bagus (Maha Suci dari segala kekurangan), tidak menerima sesuatu melainkan yang bagus. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman sebagaimana yang telah diperintahkan para Rasul. Lalu Baginda membaca (ayat al-Qur’an, surah al- Mukminun: 51): (Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan). Baginda membaca lagi (surah al-Baqarah: 172): (Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu). Kemudian Baginda menyebutkan tentang seorang lelaki yang jauh pelayarannya (pada mentaati Allah seperti haji, berziarah dansebagainya) yang kusut dan berdebu rambutnya, menadah kedua tangannya ke langit (dan berkata): wahai Tuhan, wahai Tuhan. Sedangkan makanannya haram, dan minumannya haram, dan pakaiannya haram dan dipelihara (disuap) dengan yang haram, maka bagaimana dimakbulkan (doanya) dengan sifatnya yang sedemikian.”

(Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas menyarankan supaya berbelanja di jalan yang halal dan melarang dari berbelanja di jalan yang haram. Maka makanan, minuman, pakaian dan sebagainya hendaklah yang halal dan tiada perkara syubhah padanya. Begitu juga, doa tidak akan dimakbulkan jika makanan, minuman dan pakaian datangnya dari yang haram.

Selain itu juga hindarilah dari berbuat dosa agar doa mudah dimakbulkan Allah. Pernah terjadi kisah di zaman Nabi Musa Alaihissalam berlakunya kemarau panjang sehingga umat Nabi Musa meminta baginda berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan. Baginda meminta semua umatnya berkumpul bersama untuk meminta huja kepada Allah. Apabila Nabi Musa meminta doa kepada Allah, Allah menyatakan bahawa dalam kalangan mereka terdapat seorang insan yang telah berbuat dosa kepada Allah selama 40 tahun yang menyebabkan Allah tidak ingin memakbulkan doa. Akhirnya baginda meminta kepada umatnya agar orang yang berbuat dosa itu keluar dari kelompok mereka agar doa mereka dimakbulkan.

Orang yang berbuat dosa itu rasa serba salah sama ada beliau mahu keluar dari kelompok tersebut atau tidak. Kerana sekiranya dia keluar dari kelompok tersebut, maka aibnya akan terbuka dan diketahui ramai. Sekiranya dia tidak keluar, maka hujan tidak akan turun. Akhirnya dia bertaubat kepada Allah dan Allah Maha Menerima taubat hambanya. Dengan tidak semena-menanya, hujan turun mencurah-curah. Nabi Musa merasa hairan kerana orang yang berbuat dosa belum keluar dari kelompok mereka, tetapi hujan sudah mencurah-curah. Allah kemudiannya menyatakan bahawa lelaki itu telah bertaubat dan Allah menerima taubatnya. Subhanallah!!

Ibrahim bin Adham pernah ditanya:

“Apa hal bila kami berdoa tidak dimakbulkan?” Beliau menjawab: “Kerana kamu tahu akan Allah tapi kamu tidak mentaatinya dan kamu tahu akan Rasul tapi kamu tidak mengikut sunnahnya dan kamu tahu akan al-Qur’an tapi kamu tidak mengamalkannya dan kamu menikmati nikmat anugerah Allah tapi kamu tidak mensyukurinya dan kamu tahu akan syurga tapi kamu tidak menuntutnya dan kamu tahu akan neraka tapi kamu tidak lari daripadanya malah kamu bersetuju dengannya dan kamu tahu akan mati tapi kamu tidak bersedia untuknya dan kamu mengebumikan mayat tapi kamu tidak mengambil iktibar dan kamu meninggalkan keaiban kamu tapi sibuk dengan keaiban orang lain.”

Akhirnya, perbanyakkanlah doa, kerana doa itu dapat mendekatkan diri dan mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mengingati Allah hendaklah dilakukan pada setiap masa sama ada pada waktu senang atau susah. Begitulah juga dengan amalan dalam berdoa hendaklah dilakukan pada setiap masa lebih-lebih lagi pada waktu senang dan mewah, kerana dengan cara itu apabilaberdoa pada waktu susah, doa akan mudah diperkenankan sebagaimana

sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: Maksudnya:

“Sesiapa suka supaya dikabulkan doanya oleh Allah pada waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa pada waktu senang.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Related Posts with Thumbnails

Comments:

There are 1 comments for DOA The Great Weapon

Post a Comment